Salahkah jadi seperti dian bakar hati terangi orang? Cinta itu seperti air telaga dalamnya tidak terjangkau tangan Judul buku ini mengingatkanku kembali kepada Raden Adjeng Kartini yang terpaksa melalui adat 'pingitan' di mana seorang wanita bangsawan Jawa tidak dibenarkan keluar rumah sejak haid pertamanya hingga dia dinikahi. Kartini ialah salah satu topik perbincangan dalam buku kedua untuk darjah lima yang boleh anda dapat dengan melanggani bahagian Bahasa Melayu lelaman ini. Watak utama kisah ini, Wan Adnin bukanlah dari bangsa Jawa. Dia dibesarkan oleh neneknya di Kedah selepas ditinggalkan ibu bapanya semasa kecil. Mungkin akibat ini, neneknya, Tok Bonda, mengawal ketat pergerakan dan pergaulan cucunya dari kecil hingga besar seperti orang yang dalam adat pingitan. Bila dia meningkat dewasa, setiap yang datang melamar diperiksa ketat oleh Tok Bonda, biar setaraf dan berpangkat. Hanya bila rahsia lama keluarga Tok Bonda terbongkar sajalah, dia sedar akan sikapnya yang salah, menolak pinangan hingga 12 calon suami untuk cucunya. Cerita ini menarik kerana ia dari genre fiksyen bersejarah. Ia menyentuh tentang adat menekat dan sejarah Kedah dan Siam serta ilmu pertanian tradisional Melayu. Kecuali pada bahagian surat-menyurat lama, bahasa yang digunakan selesa untuk mereka yang dalam peringkat pertengahan. Ia sesuai untuk murid-murid dari menengah tiga ke atas. Perbualan dalam minda watak-watak dalam kisah ini juga menghiburkan dan membuat pembaca terasa seperti ada persamaan, biarpun tidak hidup di kampung dan tak pernah ke Kedah. Buku ini boleh dipinjam dari perpustakaan NLB.
0 Comments
Your comment will be posted after it is approved.
Leave a Reply. |
AuthorA homeschooling mum who enjoys writing. This is where I share my thoughts and resources on learning.. Archives
January 2026
Categories |



